SHAH ALAM 7 Jan. - Kanang Anak Langkau menumpaskan 80 pesaingnya apabila dinobatkan sebagai Best in Show dalam Karnival dan Pertandingan Kucing Antarabangsa yang diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall di sini semalam.
Pemiliknya, Sharifah Shahidah Syed Abdul Rahman, 28, berkata, selain mempunyai bulu yang panjang, Kanang Anak Langkau merupakan kucing jenis maine coon yang kuat, bijak dan manja.
Sharifah Shahidah berkata, suaminya, Ahmad Shafiq Mohd. Arif sering membantunya dalam menjaga kucing pertamanya itu yang kini telah berusia setahun dua bulan.
"Bagi saya penjagaan haiwan peliharaan seperti kucing bukan sahaja ditekankan dalam soal pemakanan dan penjagaan kesihatan sebaliknya perkara paling penting ialah kita sentiasa menunjukkan kasih sayang kepada mereka.
"Walaupun saiz Kanang Anak Langkau besar dan mempunyai berat kira-kira 6.8 kilogram, kucing tersebut senang dijaga dan jinak. Kami tidak kisah jika perlu membelanjakan sehingga RM1,200 sebulan untuk memenuhi keperluan penjagaan Kanang," katanya yang merancang membuka kedai haiwan peliharaan dalam tempoh terdekat ini.
Selain dinobatkan sebagai Best in Show, Kanang Anak Langkau turut memenangi kategori Best Semi Longhair dalam pertandingan tersebut.
Sementara itu, Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM), Khalid Rashid berkata, selain mengumpulkan para peminat kucing di seluruh negeri ini, pihaknya turut menganjurkan seminar berkaitan kucing kepada para peserta.
"Tahun ini, sebanyak 60 peserta yang berdaftar dan mempertandingkan 160 ekor kucing termasuk 80 ekor kucing belaan yang telah berdaftar dengan KKM. Selebihnya adalah anak kucing dan kucing yang belum berdaftar dengan mana-mana kelab," katanya.
Sumber : Utusan Online
0 ulasan:
Catat Ulasan
Hai.. cat lover! meh lea komen kat sini.. kucen2 teman happy sgt kalau korang komen kat sini.. depa ckp.. thank you yu all yg encem, cute,lawo,cun,ganteng! he3..